Friday 30 December 2011

Fitnah ciptaan Najib, Mahathir adalah virus pelumpuh harga diri rakyat

"Maka lahirkan professor kangkung tanpa ilmu, golongan agama yang sanggup mencuri wang zakat, mereka yang bersumpah dalam masjid untuk menghalalkan fitnah, pengarang-pengarang media yang melacurkan etika kewartawanan, menteri yang korup, hakim yang menginjak hukum, polis yang jadi kuda tungangan penguasa, mahasiswa seperti robot "



Selama 54 tahun memerintah, Umno/Barisan Nasional telah berjaya melahirkan dua tokoh pemfitnah besar dalam sejarah, iaitu Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Demi nafsu serakah untuk mengekalkan kuasa, kedua-kedua mereka mengamalkan ajaran Nicollo Machiavelli, iaitu 'matlamat menghalalkan cara' dengan memfitnah Anwar Ibrahim melakukan liwat walau tanpa saksi.

Machiavell dalam suratnya kepada Lorenzo de’ Medici pada pertengahan abad ke 16, menekankan pentingnya seseorang penguasa mengekalkan kuasa dengan meminggirkan eitka dan keadilan.Pemikiran Machiavell bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan sebagai teras utama membangun sebuah negara.

Dalam kedua-dua tuduhan ke atas Anwar, pada tahun 1999 dan sekarang, tidak ada seorang pun saksi berwibawa yang dikemukakan oleh Mahathir dan Najib itu melainkan pengakuan tertuduh yang sangat meragukan.  Dalam konspirasi pertama, saksi utama Azizan ABu Bakar terang-terangan dalam mahkamah menyatakan semua tuduhan dan tarikh yang disebut adalah rekaan, lihat semula rekod mahkamah ketika Azizan dioal balas oleh peguam Fernando.

Fernando: Adakah kamu memberitahu polis bahawa kamu diliwat pada tahun 1994?
Azizan: Tidak.
Fernando: Siapa merekacipta keterangan ini?
Azizan: Saya tak tahu.
Fernando: Adakah kamu memberitahu polis bahawa kamu diliwat pada tahun 1992?
Azizan: Tidak.
Fernando: Siapa merekacipta keterangan ini?
Azizan: Saya tak tahu.
Fernando: Tarikh 1992 adalah palsu?
Azizan: Ya
Fernando: Saya katakan kepada kamu tarikh pertuduhan dipinda kepada 1993 sebab bangunan (Tivoli Villa) belum siap untuk diduduki?
Azizan: Saya tak tahu.
Fernando: Adakah anda setuju dengan cadangan saya tadi?
Azizan: Ya.
Fernando: Siapa yang menyuruh anda menukar tarikh kepada 1993?
Azizan: SAC1 Musa bin Hassan (Pegawai Penyiasat ketika itu sebelum dinaikkan pangkat ke Ketua Polis Negara, kini bersara).

Namun, Anwar tetap dijatuhkan hukuman kerana itulah matlamat tokoh-tokoh durjana yang mahu memenjarakan beliau melalui fitnah ini. Begitu juga yang akan berlaku dalam kes sekarang.  Tertuduh pertama, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyembunyikan laporan polis beliau sendiri kerana ia jelas bertentangan dengan pengakuannya dalam mahkamah, dalam erti kata lain, dia berbohong. Dan kita tidak percaya hakim dalam kes ini yang telah dikembirikan akan berlaku adil.

Mahathir dan Najib enggan hadir ke mahkamah untuk membuktikan tuduhan mereka. Sebaliknya menyebarluaskan fitnah melalui media eletronik dan teknologi IT lalu mencanangnya kepada 6500 juta warga dunia. Ia juga disebarkan melalui akhbar dan TV kepada 30 juta rakyat Malaysia dari kota hingga ke pendalaman.

Manakala bagi melegalisasikan plot jahat ini, kedua-dua "Bapa Fitnah" ini mengheret seluruh institusi penguatkuasa - hakim, Peguam Negara, Polis, termasuk juga media, saksi-saksi yang dipaksa seperti para doktor, pegawai bawahan polis dan pegawai kerajaan untuk bersekongkol.

Seluruh jabatan kerajaan, institusi pendidikan, institusi masyarakat, institusi keagamaan, institusi penerangan dikerahkan untuk bersama-sama menyokong dan menyebarluaskan fitnah ini ke seluruh lapisan masyarakat.
Kesannya, fitnah terhadap Anwar bukan saja menzalimi mantan Timbalan Perdana itu dan keluarganya sahaja, tetapi juga turut memporak peranda seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia terpecah kepada dua golongan. Golongan penyokong fitnah dan golongan penentang yang ditekan. Golongan penyokong fitnah bercirikan manusia-manusia tanpa jati diri, tanpa akal sihat dan tanpa menghormati peradaban.

Maka lahirkan professor kangkung tanpa ilmu, golongan agama yang sanggup mencuri wang zakat, mereka yang bersumpah dalam masjid untuk menghalalkan fitnah, pengarang-pengarang media yang melacurkan etika kewartawanan, menteri yang korup, hakim yang menginjak hukum, polis yang jadi kuda tungangan penguasa, mahasiswa seperti robot dan sebagainya.

Manakala golongan yang menentang fitnah ditekan, undang-undang draconian terus dicipta, peraturan-peraturan zalim terus diperkenalkan bagi menghalang mereka berfikir dan bersuara. Hasilnya, rakyat hidup dalam keresahan, hilang kemampuan akal sihat, hilang jati diri dan martabat sebagai insan. Fikiran mereka diracuni virus paling berbahaya, iaitu fitnah dan lebih celaka ia dicipta oleh pemimpin mereka sendiri.

Rakyat tanpa jati diri adalah mayat hidup, yang berjalan tanpa arah dan tujuan serta mudah diperkudakan penguasa.  Fenomena ini akan menjurus Malaysia ke arah kehancuran. Jika mereka mencipta virus, Najib dan Mahathir bukanlah pemimpin yang wajar dihormati, sebaliknya adalah makhluk perosak dan perlu disingkir demi menyelamatkan Malaysia.

Thursday 29 December 2011

Tribute kepada Franky S, sang pencinta alam



Tahun 2011 secara peribadi saya kehilangan seorang tokoh besar dalam dunia seni, iaitu penyanyi Indonesia, Franky Sahilatua, 57 yang meninggal dunia. Franky Hubert Sahilatua atau Franky S tidak dikenali di Malaysia, tetapi saya akan huraikan kenapa dia sangat istimewa di pandangan mata saya sebagai seorang peminat.

Dalam 40 tahun berkarya, Franky telah menghasilkan lebih kurang 30 album, kebanyakannya duet bersama adiknya, Jane. Secara umumnya lirik lagu-lagu Franky terbahagi kepada tiga kategori; kehidupan marhaen, kritik sosial dan kecintaan kepada alam sekitar, disamping lagu-lagu cinta.

Kehidupan marhaen dan kritik sosial tidaklah asing bagi mereka yang meminati lagu-lagu Indonesia kerana ia biasa didengar dalam lagu-lagu Iwan Fals, Leo Christy, Gombloh atau Ebiet G Ade. Kerana itu, rencana ini akan menyentuh satu aspek lain yang sangat istimewa dari penyanyi kelahiran Surabaya ini -- kecintaan kepada alam sekitar.



Franky adalah satu-satunya penyanyi yang begitu komited membicarakan alam sekitar dalam lagu-lagunya berbanding penyanyi-penyanyi lain. (Saya hanya membanding dengan penyanyi-penyanyi nusantara, kerana saya tidak meminati lagu-lagu Inggeris). Ya, penyanyi-penyanyi lain juga menceritakan tentang alam, tetapi kebanyakannya alam digambarkan sebagai latar belakang menghiasi tema cinta atau ada juga yang menghasilkan tema alam sekitar untuk satu album, kemudian kembali semula ke tema biasa.

Franky berbeza, dalam lagunya alam adalah subjek, bukan hanya hadir sebagai objek. Dia konsisten, bukan hanya pada satu album tapi sepanjang kariernya. Lagu-lagunya menyentuh keperihatinan, kecintaan dan kepekaan terhadap tumbuhan, hutan, bunga, sungai, bukit, gunung, perladangan dan sebagainya.

Lihat sahaja puluhan tajuk lagu-lagunya seperti seperti Musim Bunga, Menyambut Musim Petik, Malam di Gunung, Lambaian Perdu, Kepada Angin dan Burung-burung, Panen Telah Datang, Pemetik Daun Jati, Orang-orang Bukit.

Begitu juga lagu Kubis Kacang Kentang Jauh Disana, Siti Julaika Buruh Pabrik Gula, Nyanyian Hutan Pagi, Diatas Viaduk Cikapundung, Di atas 7000 Ribu Kaki, Pada Bukit Pedesaan, Ketika Alam Murka, Di Kaki Gunung dan sebagainya.

Lagu "Di atas 7000 Ribu Kaki" contohnya mengisahkan perihal pendakian untuk mendapat sejenis bunga, iaitu Edelweiss yang hanya hidup di atas ketinggian tanah 7000 kaki. Lagu Menyambut Musim Petik menggambarkan suasana riang dalam sebuah kampung ketika menyambut musim menuai. Senikatanya: "Berjalan membawa pulang, hasil ladang mereka, terasa lega di hati, tak ada bencana di musim ini.."

Lagu "Malam di Gunung" memberi ingatan kepada manusia yang sering menzalimi alam dengan rangkap: "Janganlah kau merosak rimbun pepohonan, biar semua itu seperti adanya, agar kita semua bisa menikmati." Lagu Musim Bunga" "Ramai-ramai perempuan desa, dengan keranjang di atas kepala, Burung-burung yang berkicauan, menemani mereka memetik bunga."

Pada lagu Lambaian Perdu dia merakam senario di kampungnya setelah baru pulang dari kota: "Berdiri di pinggir kali, memandang bukit berbaris, ...lambaian-lambaian perdu, kerbau-kerbau rebahan..."

Di atas adalah sebahagian contoh senikata dari sebahagian banyak lagu-lagu beliau. Saya tidak pernah melihat senikata mengenai keakraban alam yang begini mendalam dalam lagu dari penyanyi lain.

Pemergiannya di Rumah Sakit Medika Permata Hijau, Jakarta Barat pada 20 April meninggalkan titik kosong dalam ruang musik di hati saya kerana lagu-lagunya sangat terkesan. Pada saya, lagu-lagu Franky bukan sekadar menghibur, tetapi ia pengisi jiwa.

Franky meninggal setelah setahun melawan sakit barah sum-sum tulang. Saya sedikit kesal kerana menangguh-nangguh lawatan untuk menziarahi beliau ketika dirawat di Singapura kerana itu tak sempat bertemu dia. Sebelum itu, ketika dia masih sihat, saya sempat berhubung dan berchating dengan dia dalam facebook dan sudah mengatur rencana untuk bertemu beliau di Jakarta, tetapi tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayangi dia.

Selamat tinggal Franky, lagu-lagu mu tetap subur menghijau dan penuh warna seperti musim bunga di hati ku.


Friday 23 December 2011

Manipulasi masa adalah korupsi dalam sistem keadilan

Dalam istilah undang-undang, sering diutarakan hujah mengenai "Justice delayed is justice denied" (keadilan yang dilengah adalah keadilan yang dinafi) dan "Justice Hurried is Buried" (keadilan yang terburu-buru adalah keadilan yang dibenamkan).

Kedua-dua hujah ini menekan bahawakeadilan tidak ditentukan oleh faktor masa, tetapi hendaklah berdasarkan undang-undang yang adil.

Di Malaysia, bukan saja hukum sering tidak adil, ia sering dizalimkan lagi dengan manipulasi masa.
Bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo didakwa atas dakwaan yang telah diringankan bagi menyelamatkan beliau. Masa yang dipilih untuk memutuskan kes ini ialah menjelang cuti umum selama tiga hari, iaitu cuti hari Krismas yang dicantumkan dengan cuti hari minggu.

23 Disember sengaja dipilih ketika rakyat sedang bercuti penjang supaya mereka tidak sempat menganalisa kes ini dan dengan itu menyelamatkan sendiwara politik pemerintah.

Kita lihat lagi, Eric Chia dan Kasitah Gaddam didakwa menjelang PRU 2004 bertujuan memperlihatkan kononnya kerajaan bersungguh dalam menangani rasuah untuk kepentingan kempen, sedangkan kesalahan tersebut dilakukan berpuluh tahun sebelum itu. Dan beberapa tahun selepas PRU, mereka dibebaskan.

Pada tahun 1999, Marina Yusoff yang sedang popular dikalangan penyokong reformasi ketika itu didakwa atas Akta Hasutan, dan masa yang dipilih ialah pada hari raya ketiga bertujuan mengelak perhimpunan bagi menyokong beliau kerana kebanyakan rakyat ketika itu sedang bercuti.

Sebelum Anwar Ibrahim dibebaskan pada tahun 2004, beliau telah dimaklumkan beberapa bulan sebelum itu oleh 'orang-orang yang rapat' kepada Perdana Menteri bahawa beliau akan dibebaskan, tetapi masanya selepas PRU bagi mengelakkan beliau berkempen.

Kes terbaru Anwar diabicarakan secara tergesa-gesa dan dipercepat supaya hukuman dapat dijatuhkan sebelum Parlimen dibubar oleh Perdana Menteri untuk dijadikan bahan kempen oleh Umno/Barisan Nasional dalam PRU 13.

Dalam rancangan membebaskan dua katak Perak, Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi sebagai habuan melompat, masa yang dipilih ialah ketika orang sibuk berkempen pilihanraya Sarawak.

Diatas adalah contoh kecil dari senarai panjang betapa pihak pemerintah menginjak hukum dan memanipulasi masa bagi kepentingan politik mereka. Semua ini terhasil dengan kerjasama hakim, Peguam Negara dan Polis dan media pengampu. Mereka yang enggan menurut skrip ini akan menerima padah.

Hakim KN Sagara ditukar apabila beliau tidak tunduk permintaan peguam kerajaan untuk mempercepatkan kes Altantuya tanpa alasan wajar. Mempercepat kes Altantuya adalah satu rancangan bagi membebaskan Razak Baginda lebih awal. Dan hakim yang menggantikan beliau apabila menuruti skrip ini diberi gelaran Datuk!

Berapa ramai orang yang telah selesai menjalani hukuman terpaksa merengkok lebih lama kerana manipulasi masa seperti ini? Berapa ramai orang yang tidak bersalah dipenjarakan dan orang bersalah dibebaskan kerana skrip politik penguasa?

Bagaimanapun tekanan penguasa, keputusan terletak ditangan hakim, kerana hakimlah yang menentukan sesuatu hukuman. Mementik kata-kata sarkastik Lord Denning (terjemahan): "Berikan sebaris ayat yang ditulis oleh seorang yang paling jujur, dan hakim boleh mencari sesuatu disebalik tulisan untuk untuk menggantung beliau."

Hakim yang menjadi perkakas penguasa sebenarnya bertanggungjawab mengikis kelayakan mahkamah sebagai sebuah institusi berdaulat Merekalah sebenarnya yang menghina mahkamah. Hakim-hakim seperti ini akan dihumban dalam tong sampah sejarah bersama penguasa yang menunggang mereka.

Saya terharu dan sangat berbangga dapat berjumpa dengan  Hakim Kamil Awang yang datang ke program bertemu peminat di Amcorp Mall akhir September lepas. 


Akhir kalam, tidak lupa sanjungan untuk hakim yang tegas mempertahan undang-undang seperti Salleh Abas, Suffian Hashim, Azmi Kamaruddin, Eusoffe Abdoolcader, Wan Hamzah Mohamed Salleh, Wan Suleiman Pawanteh, Harun Hashim, George Seah, KN Sagara, Sheikh Daud Ismai, Hishamuddin Yunus, Linton Albert, Kamil Awang, SM Komathy Suppiah, GV Varughese juga lain-lain yang saya tidak disebutkan di sini.

Sunday 18 December 2011

Perak Darul Kartun bukan penghinaan tapi kritikan

"Kepada golongan yang mangaku terhina, ingin saya jelaskan tiada sesiapa yang menghina mereka, melainkan mereka menghina diri mereka sendiri"
Cover Perak Darul Kartun. Komik yang diulang cetak sebanyak 3 kali dan kini sudah tiada  di pasaran


Perak Darul Kartun adalah nama sebuah buku kartun yang dihasilkan oleh saya dan teman-teman seperti Ronasina, Jonos, Art, Naza, Azlan Isa dan lain-lain.

Ia diterbitkan selepas majalah pertama kami Gedung Kartun diharamkan. Kali pertama Perak Darul Kartun menjadi isu ialah pada Jun 2010 apabila ia diharamkan oleh KDN atas alasan "Kandungannya boleh menjejas ketenteraman awam serta boleh menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan!"

Saya telah mencabar pengharaman ini ke mahkamah dan telah kalah di pusingan pertama. Kini Perak Darul Kartun menjadi isu lagi apabila wakil Pakatan Rakyat, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming membangkitkannya dalam ucapan beliau baru-baru ini.

Atas isu ini, maka muncullah pihak-pihak yang mengaku terhina dengan perkataan Perak Darul Kartun. Saya sendiri menerima banyak kritikan. Idea untuk mencipta nama Perak Darul Kartun ini terbit selepas berlakunya rampasan kuasa di Perak oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.

Rampasan kuasa ini dilakukan melalui taktik keji, tidak bermaruah serta melampaui batas kemanusian dan undang-undang. Prinsip Perlembagaan dicabul, wakil rakyat disogok serta dibeli untuk melompat dan Dewan Undangan Negeri diceroboh.

Gelaran Perak Darul Kartun bukan satu penghinaan, tetapi adalah kritikan atas kezaliman Barisan Nasional dalam episod merampas negeri Perak. Kata Saidina Ali: "Berkata benar di hadapan pemimpin zalim itu adalah sifat patriot paling tinggi."

Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita mengritik Najib dan Barisan Nasional dalam isu Perak ini.
Kepada golongan yang mangaku terhina, ingin saya jelaskan tiada sesiapa yang menghina mereka, melainkan mereka menghina diri mereka sendiri.

Kepada pemimpin/penyokong Umno/Barisan Nasional, anda telah menghina diri anda sendiri dengan melakukan rampasan kuasa rakus itu. Dan sekiranya ada rakyat Perak yang menyokong rampasan kuasa itu, anda juga menghina diri sendiri kerana tidak menentang kezaliman.

Kepada rakyat Perak yang bangun menentang kezaliman ini, mereka tidak rasa terhina malah telah menjalankan tanggungjawab sebagai manusia. Syabas kepada rakyat Perak yang berani.

Tuesday 13 December 2011

Punca rasuah terus bertambah di Malaysia

Apakah kartun ini menghina mahkamah?

Kartun ini tersiar dalam sebuah laman web di Amsterdam. 


Banyak pihak menyatakan kartun saya ini menghina mahkamah. Apakah benar?

Penjelasan saya: Dalam keadaan sesebuah mahkamah adil dan mendaulat hukum, kartun ini saya akui boleh dianggap menghina mahkamah. Tetapi dalam situasi dimana mahkamah membiarkan diri mereka menjadi perkakas penguasa seperti di Malaysia, mahkamah sebenarnya menghina diri mereka sendiri. Kartun ini hanya merakam dalam bentuk visual.

Secara adil, kredibilit hakim-hakim kita bermula dengan baik sejak merdeka.

Tetapi pada tahun 1988, Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas bersama dua lagi hakim kanan dipecat semata-mata untuk memuaskan nafsu Mahathir untuk terus berkuasa.  Sejak itu, sistem kehakiman negara tercemar dan ternoda. Hakim-hakim pengampu, tidak berwibawa, tidak punya jati diri dinaikkan jawatan.

Manakala hakim-hakim yang berwibawa yang menjalankan tugas mengikut hukum dihukum dengan diketepikan atau di"peti-sejukkan."

Kita lihat jelas bagaimana hakim-hakim mengikut skrip penguasa dalam kes Anwar, kes Beng Hock dan kes Altantuya. Dalam kes Anwar, hakim asal yang tegas, James Foong ditukar dan diganti dengan Augustine Paul. Dalam kes Altantuya kakim kanan, KN Sagara yang adil ditukar kepada yang lemah dan boleh dipulas telinganya.

Ini adalah sebhagian contoh dari senarai panjang. Neraca jadi tidak seimbang, yang punya kuasa menang, yang lemah terus diinjak. Berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa dan dipenjara kerana angkara hakim-hakim ini.

Islam menggariskan satu prinsip keadilan yang sangat penting buat pedoman para hakim (sekiranya ada keraguan). "Lebih baik membebaskan 1000 orang yang bersalah daripada memenjarakan satu orang yang tidak bersalah." .

Betapa besarnya dosa hakim-hakim curang sehingga Imam Ali mengingatkan bahawa "dua dari tiga hakim masuk neraka." Saya risau dalam keadaan di Malaysia ia menjadi "empat dari tiga hakim masuk neraka, yang keempat ialah ketua hakim."

Sunday 11 December 2011

Saat saya mula-mula menyokong Anwar dan kenapa dia perlu disokong

(rencana khusus kepada golongan muda, terutama generasi selepas September 1998)

Anwar berucap di depan lebih 50,000 penyokong di Masjid Negara pada 20 Sept 1998

Pada 2 September 1998, media seperti Utusan Malaysia atau nama timangannya "Utusan Meloya" serta TV3 menyiarkan berita dan afidavit penuh dari beberapa individu bahawa Anwar Ibrahim terlibat dalam perlakuan liwat. Kebanyakan penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat pada ketika itu tidak mengenali Anwar, begitu juga dengan saya. Semua dalam keleliruan.

Tetapi, saya mula menyoal kalau betul Anwar bersalah, pasti dia bukan begini peribadinya. Orang bersalah tidak akan berani berceramah di hadapan khalayak ramai, apatah lagi untuk bertentang mata dengan ribuan manusia. Sebagai manusia berakal, saya perlu mencari kepastian. Ketika itu, dari dua hingga ke 20 September, setiap malam di rumah Anwar diadakan ceramah.

Pada satu malam, saya berkesempatan untuk kali pertama mendengar ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya di Bukit Damansara. Siang itu, penulis ucapan beliau Dr. Munawar Anees ditangkap.
Ceramah beliau pada malam itu mematikan keraguan saya termasuk satu baris pidato yang sangat penting dan signifikan.

Kata Anwar, merujuk penangkapan Dr Munawar, lebih kurang begini: "Kenapa tangkap orang-orang saya? Tangkap saya. Saya pemimpin!!!".

Hanya mereka yang "berani kerana benar" boleh berbicara seperti itu. Kata-kata seperti ini tidak mampu lahir dari mulut seorang yang bersalah. Atas kebenaran ini, dia berdiri tegak dan mencabar para rangkaian konspirator. Atas kebenaran ini, dia menerjang segala risiko demi membela orang yang dipimpin.

Saya percaya kalaulah situasi ini dihadapi oleh Dr Mahathir, sejak awal beliau sudah lari ke kandang kuda di Argentina dan membiarkan pengikut-pengikutnya menghadapi segala risiko. Dan kalau Najib mungkin sudah lama lari ke Mongolia.

Sejak saat itu saya pasti semua tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar adalah fitnah dan hanya untuk membunuh karier politik beliau dan menyelamatkan perasuah. Betapa besarnya dosa pereka-pereka fitnah, penyebar, pentokong dan orang yang berdiam serta merelakannya.

Bagi saya Anwar layak membawa Malaysia keluar dari kemelut dan dia perlu disokong. Kepada dia, rakyat boleh sandarkan harapan.Di bawah ini beberapa insiden yang diberitahu kepada saya kemudiannya yang mengukuhkan menyerlahkan perwatakannya sebagai seorang pemimpin.

Dalam peristiwa demonstrasi membela petani miskin Baling pada tahun 1974, Anwar pada asalnya tidak ditangkap dan sudah berada di rumah bapanya (Datuk Ibrahim) di Petaling Jaya. Tapi apabila mendengar berita penangkapan teman-temannya (termasuk Fadzil Noor), beliau segera ke balai polis Jalan Stadium untuk membela, yang akhirnya menyebabkan dia terus ditangkap di bawah ISA selama dua tahun.

Insiden kedua, apabila menghadapi tuduhan, sehari sebelum dipecat, dia diberi kata oleh oleh Dr Mahathir - "dipecat atau menghadapi tuduhan yang memalukan". Dan ini diiringi tawaran lumayan untuk bertugas di Bank Dunia sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan. Jawab Anwar, "Kenapa saya harus meletak jawatan, saya tidak bersalah." Kita percaya semua pemimpin Umno/BN dalam situasi ini akan memlilih jawatan di Bank Dunia.

Satu kriteria penting bagi seseorang pemimpin berwibawa. "Apabila berhadapan dengan pilihan laba, beliau memilih untuk mempertahankan prinsip walau pun risikonya penjara."

Malah prinsip beliau jelas dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh 2008 di mana dia bertanding. Dalam kempen, taktik bersumpah atas nama agama dilakukan oleh Najib Razak dan Saiful demi mendapat undi.
Kerana tingkah lalu para sesumpah ini disiarkan oleh Meloya dan TV3, sokongan pengundi Melayu merosot mendadak, maka ada teman-teman yang menasihati Anwar untuk ikut bersumpah. Beliau menolak kerana amalan sumpah dilarang dalam Islam. Persoalan jenayah wajib di bawa ke mahkamah adil.

Beliau berpendirian tidak akan mengorbankan prinsip agama untuk tujuan politik kalau pun sekiramnya ditakdir beliau kalah dalam pilihanraya itu.

Akhir kalam, rencana ini tidak membicarakan soal politik kepartian, tetapi keperluan membawa Malaysia keluar dari kebobrokan rasuah, penjarahan harta negara, perompakan wang rakyat yang menghalang kemajuan negara.Umno/BN terjebak dalam lubuk keji ini dan mereka sendiri tidak mampu mencari jalan keluar, apa lagi membawa rakyat keluar.

Sebagai alternatif, kita punya seorang pemimpin yang berani, bertanggungjawab, berprinsip dan mempunyai jiwa pembela rakyat.  Hanya seorang pemimpin tanpa rasuah seperti Anwar dengan gagasan Pakatan Rakyat mampu mengemudi Malaysia kembaliberdaulat dengan rakyat yang berjati diri.

Saturday 10 December 2011

ANUGERAH BUKAN UNTUK DIMEGAHI, TETAPI PENYUNTIK SEMANGAT

Courage in Editorial Cartooning 2011


Human Right award dari Yayasan Hellmann-Hammett 
Sejak mula melukis, saya tidak pernah mencita-citakan untuk diberi sebarang anugerah. Hasrat saya ialah melalui kartun, saya mahu melawan rasuah dan perasuah serta penguasa zalim pengisap darah rakyat.

Jika saya mahukan imbuhan tentu sudah lama saya mengikut jejak langkah beberapa kartunis yang menemui Menteri Rais Yatim beberapa bulan lepas yang kemudian diberi peruntukan RM5 juta. Kerana itu, walau menghadapi banyak cabaran dan rintangan, saya tetap meneruskannya.

Pada pertengahan Mei 2011, saya dimaklumkan oleh pihak Cartoonist Rights Network International (CRNI) bahawa saya telah dipilih untuk menerima anugerah "Courage in Editorial Cartooning 2011" (Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial).

Berita ini datang selepas saya ditangkap dan buku-buku saya diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Dalam ucapannya di majlis penganugerahan yang  diadakan pada 7 Julai di Florida, Amerika Syarikat, Pengarah CRNI, Dr Robert Russell, berkata:

 "Zunar shakes his fist at their small minded, but terrifying power. His response to their blatant and illegalcensorship has become a guide map for how any of us can defend freedom of speech and preserve it for ourselves and our children. Zunar’s survival strategy in dealing with the pressures government put him under has been to keep fighting back. Now, Zunar is suing the government for false arrest. complaint will be upheld. He is just smarter than they are.

(terjemahan bebas)

**Cara Zunar menangani penapisan yang tidak sah menjadi pedoman bahawa kita boleh mempertahankan kebebasan bersuara dan mengekalkannya untuk kita dan sebagai warisan kepada anak cucu kita. Strategi Zunar dalam menghadapi tekanan dari kerajaan ialah dengan sentiasa melawan kembali. Selepas ditangkap secara tidak sah tahun lepas kerana menerbitkan buku kartun, beliau menyaman balik kerajaan Malaysia. **

Pada bulan Ogos, saya menerima satu lagi anugerah, kali ini anugerah hak asasi dari Yayasan Hellmann-Hammett di Amerika dan Human Rights Watch. Majlis penerimaannya diadakan di Bangkok.

Selang beberapa minggu memudian, saya mendapat tawaran untuk menjadi "Resident Artist" (artis jemputan) selama tiga bulan di Bilbao, Sepanyol. Dalam masa sama saya juga diberi peluang mengadakan pameran kartun dalam "Festival Melawan Penapisan" di sana. Dan di sini saya menerima satu lagi anugerah "Keberanian Melawan Penapisan" yang diberikan oleh pihak penganjur festival, iaitu Serrano Production.

Pada awal Disember, saya dihubungi oleh pengurus Annexe Gallery Pasar Seni, Pang Khee Teik bahawa saya telah diipilih sebagai salah seorang dari "Annexe Heroes 2011." Ini adalah anugerah pertama saya dari pertubuhan di Malaysia. Isteri saya, Fazlina Rosley mewakili saya untuk menerimanya di Annexe pada 10 Disember memandangkan saya masih di Bilbao.

Pihak penganjur mencatatkan penghargaan seperti di bawah:

"For capturing the follies and irony of Malaysian politics through cartoon and reminding us the power of art in the critique of power. For creatively finding platforms for his work even when the spaces for him to express such themes are being curtailed and even when his books are banned. For showing that all Malaysians must take a stand in this political climate.

(terjemahan bebas)

** Kerana menggambarkan betapa tolol dan ironinya politik Malaysia melalui kartun dan mengingatkan kita tentang kekesanan kritikan dalam karya seni. Kerana dengan kreatif mencipta wadah untuk bekarya walau pun ruangnya untuk beliau disekat, malah buku-bukunya diharamkan. Kerana menunjukkan kepada kita bahawa rakyat Malaysia perlu mengambil pendirian dalam politik. **

Seperti yang disebut di awal tulisan ini, anugerah bukanlah untuk dimegah, tetapi penting sebagai penyuntik semangat perjuangan. Ia memberi kekuatan baru, seperti yang saya sebut ketika ucapan di Florida, "seperti Popeye mendapat Spinach."

Courage in Fighting Cencorship

Annexe Heroes 2011
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi anugerah kepada saya. Anugerah paling besar ialah penghormatan yang saya terima dari peminat, penyokong dan pembaca karya saya.

Monday 5 December 2011

PERASUAH MENJADI SEMAKIN KREATIF

PENJUALAN Even My Pen Have A Stand! berjaya disekat pihak berkuasa

Berbagai taktik diguna kerajaan untuk menghalang saya melukis/menerbit buu Kartun. Mula-mula pada September 2009, KDN datang dan merampas 408 naskah Gedung Kartun di pejabat saya. Gedung Kartun diharamkan.

Saya teruskan menerbitkan kartun. Kemudian, pada Jun 2010 mereka haramkan lima buku saya; 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun vol 1, Isu Dalam Kartun vol 2 dan Isu Dalam Kartun vol 3.

Saya masih teruskan dengan menerbitkan "Cartoon-O-Phobia". Pada 24 September 2010, beberapa jam sebelum buku ini dilancarkan, sepuluh pegawai polis datang ke pejabat saya, merampas 66 naskah "Cartoon-O-Phobia" dan menangkap dan melokap saya di Akta Hasutan.

Pada masa yang sama, sepasukan 20 orang polis pergi ke kilang percetakan dan mengugut serta memberi amaran "agar tidak mencetak buku saya di masa akan datang atau lesen percetakan terancam."

Ada kilang memberitahu saya bahawa pihak berkuasa mengugut "kamu boleh mencetak bahan lucah, tapi jangan buku Zunar."

Akibatnya sulit sekali untuk mencari kilang yang berani mencetak buku terbaru saya, Even My Pen Have A Stand!. Saya menghubungi pencetak-pencetak dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seremban, tetapi tidak ada yang berani walau pun akhirnya setelah dua bulan mencari berjumpa.

Pekedai-pekedai di seluruh negara juga diugut agar tidak menjual buku-buku saya atau menghadapi tindakan mahkamah dan juga lesen perniagan mereka di tarik balik. Taktik yang digunakan ialah apabila gagal menghalang saya, mereka menggunakan kaedah baru iaitu menakutkan-nakutklan pencetak dan penjual.

Taktik mereka berjaya. Saya baru mendapat email dari pengedar utama Gerak Budaya bahawa semua kedai - MPH, Popular dan Times Bookshop dengan rasminya menolak untuk menjual buku terbaru saya, Even My Pen Have A Stand!

Buku "Even My Pen Has a Stand" kini hanya dapat dijual secara online melalui link ini http://bit.ly/mPb9gl

Saturday 3 December 2011

SAYA ENGGAN LUKIS KARTUN LEMBU

Saya lihat ramai kartunis-kartunis menghasilkan kartun mengenai lembu; digambarkan bagaimana lembu duduk di kondo, lembu naik mercedes, menteri bermuka lembu dan sebagainya. Ini satu usaha bagus dari kartunis sebagai menunjukkan rasa perihatin atas isu semasa terutama yang menyentuh penyelewengan.

Saya juga mendapat banyak email/mesej melalui faceboook yang mencadangkan saya melukis berdasarkan idea-idea seperti itu. Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak akan melukis kartun seperti itu. Ini bukan bererti untuk melemahkan semangat kartunis-kartunis muda, tetapi saya ada alasan sendiri.

PENJELASAN SAYA: Pertama, dalam isu ini lembu tidak bersalah walau pun ia boleh digunakan sebagai simbol. Jadi sasaran tidak seharusnya kepada lembu.

Kedua, jika kita menyatakan bahawa ini adalah kesalahan menteri wanita itu dan keluarganya, bererti kita salah sasaran lagi. Saya melihat kesalahan menteri wanita itu hanya kecil. Beliau adalah insan kecil yang bergabung dalam sekumpulan perasuah-perasuah besar yang mengujudkan satu sitem lingkaran mega rasuah.

Jadi siapa yang bersalah? Jawapannya Perdana Menteri! Kerana Perdana Menteri adalah seorang perasuah, maka semua perasuah akan dilindungi asalkan menyokong beliau. Tiada ada satu pun usaha dari Perdana Menteri untuk melawan rasuah, malah tidak pernah sekali pun ia menyebut hasrat untuk melawan rasuah!

Apakah menteri wanita ini berani melakukan penyelewengan ini jika beliau berada dalam kabinet di negara-negara demokrasi, Di England, Norway atau Sepanyol contohnya?

Di China, kerajaan menetapkan hukuman mati bagi perasuah. Di Indonesia, majlis ulama terkemuka NU (Nadathul Ulama) mengeluarkan fatwa bahawa "ulama-ulama yang bergabung di bawah pertubuhan itu tidak dibenarkan solatkan jenazah perasuah!"

Kita tahu rasuah ujud di negara-negara yang saya sebutkan, bezanya kerajaannya berusaha dengan mengambil berbagai langkah, menggubal undang bagi melawan rasuah. Para ulama juga mengambil bahagian sebagai tanggungjawab sosial, tidak seherti majlis ulama di Malaysia hanya terhad kepada perdebatan soal hukum makan belangkas atau halal haramnya KFC.

Jadi dalam isu lembu ini, sasaran kita harus kepada Perdana Menteri. Saya kan terus melukis kartun mengenai lembu tetapi sasarannya tetap kepada Perdana Menteri, Umno dan BN.