"Kepada golongan yang mangaku terhina, ingin saya jelaskan tiada sesiapa yang menghina mereka, melainkan mereka menghina diri mereka sendiri"
Cover Perak Darul Kartun. Komik yang diulang cetak sebanyak 3 kali dan kini sudah tiada di pasaran |
Perak Darul Kartun adalah nama sebuah buku kartun yang dihasilkan oleh saya dan teman-teman seperti Ronasina, Jonos, Art, Naza, Azlan Isa dan lain-lain.
Ia diterbitkan selepas majalah pertama kami Gedung Kartun diharamkan. Kali pertama Perak Darul Kartun menjadi isu ialah pada Jun 2010 apabila ia diharamkan oleh KDN atas alasan "Kandungannya boleh menjejas ketenteraman awam serta boleh menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan!"
Saya telah mencabar pengharaman ini ke mahkamah dan telah kalah di pusingan pertama. Kini Perak Darul Kartun menjadi isu lagi apabila wakil Pakatan Rakyat, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming membangkitkannya dalam ucapan beliau baru-baru ini.
Atas isu ini, maka muncullah pihak-pihak yang mengaku terhina dengan perkataan Perak Darul Kartun. Saya sendiri menerima banyak kritikan. Idea untuk mencipta nama Perak Darul Kartun ini terbit selepas berlakunya rampasan kuasa di Perak oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.
Rampasan kuasa ini dilakukan melalui taktik keji, tidak bermaruah serta melampaui batas kemanusian dan undang-undang. Prinsip Perlembagaan dicabul, wakil rakyat disogok serta dibeli untuk melompat dan Dewan Undangan Negeri diceroboh.
Gelaran Perak Darul Kartun bukan satu penghinaan, tetapi adalah kritikan atas kezaliman Barisan Nasional dalam episod merampas negeri Perak. Kata Saidina Ali: "Berkata benar di hadapan pemimpin zalim itu adalah sifat patriot paling tinggi."
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita mengritik Najib dan Barisan Nasional dalam isu Perak ini.
Kepada golongan yang mangaku terhina, ingin saya jelaskan tiada sesiapa yang menghina mereka, melainkan mereka menghina diri mereka sendiri.
Kepada pemimpin/penyokong Umno/Barisan Nasional, anda telah menghina diri anda sendiri dengan melakukan rampasan kuasa rakus itu. Dan sekiranya ada rakyat Perak yang menyokong rampasan kuasa itu, anda juga menghina diri sendiri kerana tidak menentang kezaliman.
Kepada rakyat Perak yang bangun menentang kezaliman ini, mereka tidak rasa terhina malah telah menjalankan tanggungjawab sebagai manusia. Syabas kepada rakyat Perak yang berani.
No comments:
Post a Comment