Tuesday, 10 April 2012

Kartun Zunar gambar Rosmah pakai botok menghasut - saksi polis

Dari Harakah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur gamat apabila pegawai polis, ASP Zaihairul Idrus menyatakan kartun Zunar yang menggambarkan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor menggunakan botok adalah bersifat menghasut. 

ASP Zaihairul berkata demikian 6 April lepas ketika menjadi saksi dalam kes saman Zunar terhadap polis dan kerajaan kerana 'tangkapan berniat jahat' yang dibuat beberapa jam sebelum pelancaran buku kartunis itu, Cartoon-O-Phobia" pada September 2010. 

Dalam kejadian itu, Zunar turut ditahan di bawah Akta Hasutan dan 66 naskah buku tersebut serta sebuah lukisan kartun dirampas. 

Ketika soal balas oleh peguam N Surendran, Khairul berkata semua kandungan buku kartun Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haq itu adalah bersifat menghasut. 

"Setiap muka surat buku itu mengandungi gambaran kartun yang merujuk kepada pemimpin negara, pasukan polis, badan kehakiman, SPRM dan sebagainya boleh atau cenderung untuk menghasut rakyat dengan cara menimbulkan rasa benci, silap faham dan kehinaan."

"Ia juga menyebabkan masyarakat keliru dan hilang kepercayaan terhadap pihak-pihak yang dirujuk serta mempunyai niat jahat bagi tujuan permusuhan kaum dan agama," kata ASP Zaihairul.  

Bagaimanapun, beliau terperangkap apabila peguam N Surendran menunjukkan salah satu kartun dari buku itu yang menggambarkan isteri bekas Perdana Menteri memakai batik dan isteri Perdana Menteri sekarang memakai botok.

"Botok adalah produk kecantikan. Adakah melukis Rosmah memakai botok boleh menghasut?" tanya Surendran.

"Mungkin," jawab ASP Zaihairul setelah terdiam beberapa minit. 

Sebelum itu, ASP Arikrishnan dan ASP Marina Hashim turut memberi keterangan bahawa kartun-kartun itu bersifat menghasut. Kesemua saksi-saksi kedua-dua pihak telah selesai memberi keterangan dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan 23 Mei depan untuk membuat keputusan. 

Selain Surendran, Zunar juga diwakili peguam Fadiah Nadwa Fikri.

Kartunis terkenal itu juga menuntut gantirugi, perintah supaya buku-buku yang dirampas dikembalikan kepadanya dan perintah supaya lukisan kartun dikembalikan.

Lukisan kartun Zunar yang dipetik dari buku "Cartoon-O-Phobia" yang disifat polis sebagai menghasut!

No comments:

Post a Comment